Mufti Perlis Dr Juanda Jaya melahirkan rasa agak terkejut dengan laporan  berita bahawa seorang pemimpin kanan negara bersama isterinya serta  orang kenamaan lain telah selesai ibadat haji.
“Haji hanya akan selesai  paling awal pada 12 Zulhijjah atau Selasa 8 November. Bagi yang  melakukan Nafar Thani dan mahu melengkapkan tempoh bermabit dan  melontar  di Mina mereka akan selesai haji pada 9 November bersamaan  13  Zulhijjah.
“Melainkan kalau yang berkenaan tidak mahu  menyelesaikan urusan wajib haji yang dua di atas dan hanya mahu membayar  dam atau denda akibat tidak selesaikan wajib haji. Itu hal lain,” kata  mufti itu dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Bernama  pada Ahad lalu, melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan  isteri Datin Seri Rosmah Mansor selesai menunaikan ibadah pada 6  November.
Menunaikan  rukun Islam kelima itu bersama Perdana Menteri ialah ibu beliau, Tun  Rahah Mohamad Noah dan adik Najib, Datuk Mohamed Nazim, serta Menteri  Besar Perak Datuk Seri Zambry Andul Kadir.
Mengulas laporan itu, Juanda berkata pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan supaya rakyat tidak terkeliru.
“Sesuatu perlu diperjelaskan? Kita mahukan VVIP kita mendapat nasihat agama yang benar, bukannya hanya ikut ikutan sahaja.
“Jika tidak ia akan memalukan VVIP berkenaan dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya lagi.
Sumber : Malaysiakini.
Sumber : Malaysiakini.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan