Parti Islam  Se-Malaysia PAS menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi  perantaraan antara PAS dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.
 PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini,  Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh.  Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai  parti yang busuk  sampai usus. Sepatutya Tun kena nasihat supaya ahli Umno keluar   beramai-ramai masuk PAS. Apakah logik PAS  diseru untuk bersatu dengan  Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit  barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat,  tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya  memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada  rakyat dengan menaikkan harga barang.
 Apa perlu PAS  diajak bersama dengan Umno semata-mata  kerana hendak menghulurkan balang oksigen kepada Umno yang semakin  kehilangan sokongan terutama Melayu terpelajar dan Melayu yang celik  maklumat. PAS memahami tahap sokongan orang-orang Melayu sudah berubah,  maka Umno berdendang dengan irama lama iaitu kuasa Melayu terancam.  Apabila sudah nyawa di hujung halqum, baru Umno sedar PAS parti Melayu.  Sebelumnya Umno tidak pernah memandang PAS, malah angkuh dengan kuasa  untuk menindas sesama bangsa.
 PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani sebagai seorang  mufti, di antara disiplin mufti kena  rujuk Al-Quran, hadis, ijmak dan  qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit barulah boleh  keluarkan fatwa. Barulah fatwa yang dikeluarkan itu dihormati oleh orang  ramai.  Begitu juga dalam hal politik, sebelum beliau hendak  mengeluarkan pandangan biarlah buat kajian dahulu, apakah benar kalau  PAS dan Umno tidak bersatu kuasa politik melayu terancam.
 PAS suka mengingatkan kepada Tan  Sri Harussani tolong lihat dulu keputusan pilihanraya 2008, siapa yang  khianat kuasa politik Melayu? PAS atau Umno. Macam mana kuasa Melayu  boleh hilang kuasa sebab semua kerusi Melayu, PAS akan lawan Umno, kalau  Umno kalah, PAS menang, PAS Melayu juga. Mana sifir kuasa Melayu  terancam.
 Apakah Tan Seri hanya anggap PAS kuda tungangan DAP dan PKR ketika  berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat. Manakah bukti PAS rugi kepada  Melayu dan Islam ketika bersama PR. Tapi PAS boleh buktikan banyak  tindakan Umno bersama rakan-rakan BN merugikan agama dan bangsa. Tan  Seri lupakah yang menutup surau di Seksyen 8 Shah Alam itu dibuat oleh  Umno pimpinan Khir Toyo, lupakah Tan Seri yang halau orang melayu di Kg  Berembang dan Kg Plentong Pasir Gudang Johor adalah dibawah Umno. Dato  Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus, al-Marhum Dato Ishak Baharom diburu  macam penjenayah kerana hendak menyampaikan ceramah agama ketika  Selangor di bawah Umno. Adakah laporan Lim Guan  Eng di Pulau  Pinang tutup surau sejak memerintah Pulau Pinang
Hakikat yang  berlaku Umno yang serah kerusi majoriti melayu kepada bukan melayu.  Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo lo' PAS lawan Tan Lian Hoe  (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd  Noor Abd Rahman Pas, Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan PKR  lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar Pas  lawan Dr S Vasan (MIC). Malah dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu  bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi Melayu kurang daripada  50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini  adalah sebahagian contoh yang dikhianati  oleh parti Umno yang menjadi  kekasih Tan Seri Harussani.
 PAS menyeru kepada ahli Umno yang ikhlas dan sayangkan agama, bangsa  dan negara gunakanlah akal yang Allah berikan untuk buat keputusan  supaya keluar Umno dan bersama-sama  PAS yang sedang bersama membentuk  pemetaan  politik baru bersama-sama Pakatan Rakyat.Ingatlah Islam selamat, Melayu  selamat, bangsa lain selamat, negara pun selamat. Kalau Melayu selamat  belum tentu Islam dan negara akan selamat.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan