Rancangan Kementerian Pelancongan untuk mengadakan Festival Ramadan bagi  menarik pelancong Arab melawat Malaysia, terus mendapat bantahan.
Presiden Angkatan  Belia Islam Malaysia (Abim), Muhamad Razak Idris berkata, hasrat  kerajaan mengadakan festival itu merupakan satu cadangan yang lari dari  roh sebenar Ramadan. 
Beliau  berkata, dalam perspektif Islam, bulan Ramadan  merupakan bulan untuk  meningkatkan kualiti ibadah. 
"(Bagaimanapun)  kalau kementerian pelancongan membuat sedikit pengubahsuaian sejajar  dengan falsafah sebenar Ramadan dan mendatangkan kebaikkan kepada semua  orang,  ia boleh diteruskan jika ia tidak mempunyai unsur bersuka-ria. 
"Kementerian boleh  mendapatkan pandangan dan rundingan daripada pertubuhan Islam bagi  mendapatkan konsep yang wajar yang boleh mendatangkan kebaikkan kepada  semua orang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.  
Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pula berkata, pihaknya tidak bersetuju jika Ramadan dikomersialkan dengan penganjuran Festival Ramadan.
Bagaimanapun  beliau berkata, jika acara itu bertujuan untuk menjalinkan hubungan  antarabangsa dan mempunyai fungsi merapatkan ukhuwah untuk kebaikkan,  maka ia wajar diadakan. 
"Tetapi  kalau festival ini untuk 'difestivalkan' maka saya tidak setuju,"  katanya.  
Presiden Persatuan   Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz  juga membantah cadangan kementerian pelancongan itu jika majlis yang  bakal dianjurkan tidak menghormati bulan Ramadan. 
Muhammad Faisal  berkata, perkara ini bukan kali pertama terjadi kerana tahun sebelum ini  turut diadakan program sedemikian. 
"Pada pandangan saya, program yang dianjurkan  disifatkan (sebagai) tidak hormat (bulan Ramadan).  
"(Festival) bukan baru (malahan)  sudah dianjurkan pada tahun-tahun lepas, contohnya konsert yang  seolah-olah tidak menjaga sensitiviti umat Islam," katanya. 
Beliau berkata, menteri  pelancongan seharusnya mempunyai satu panduan yang khusus dalam  menjalankan sesuatu program walaupun menteri pelancongan bukan beragama  Islam.
Sumber : Malaysiakini
Sumber : Malaysiakini
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan