 Konflik  yang dihadapi perlu ditangani secara berhemah demi  kepentingan maruah Islam
Konflik  yang dihadapi perlu ditangani secara berhemah demi  kepentingan maruah IslamPERBEZAAN pandangan serta pendapat  mengenai sesuatu isu bukan perkara baru yang membabitkan ilmuwan Islam.  Bagaimanapun sikap berkeras untuk tidak menyelesaikan masalah sehingga  menimbulkan konflik berterusan. Ia amat mengecewakan kerana turut  mengheret penyokong masing-masing, yang berakhir dengan kata-mengata,  rendah-merendah dan jatuh-menjatuhkan sesama Islam.
Kesannya,  muncul pelbagai keadaan negatif dalam kehidupan bermasyarakat seperti  fitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, dendam dan  mendedah keaiban orang lain. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda,
"Daripada  kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna  baginya.' (Hadis At-Tirmizi)
 Tambah malang lagi apabila  isu membabitkan pertelingkahan sesama Islam dibesar-besarkan tanpa  ikhtiar untuk meredakannya. Cabar mencabar sebagai medan menunjukkan  kehebatan dan menguji pengaruh serta sokongan tidak dibolehkan dalam  Islam. Hassan Al-Banna, pendakwah Islam yang terkemuka pernah memberi  wasiat kepada umat Islam melalui pesannya, "Jangan memperbanyak  perdebatan dalam pelbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang  penting. Pertengkaran ini semata-mata tidak akan mendatangkan kebaikan"
Bagi  mengelakkan berlaku sebarang perselisihan dan suasana yang tidak  menyenangkan, kita perlu berwaspada sebelum berkata-kata, apatah lagi  cabar-mencabar. Firman Allah yang bermaksud,
 "Wahai  orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh  dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang  dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula sesuatu puak  daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang  lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka;  dan jangan sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain;  dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain  dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan  orang yang melakukannya menjadi fasik,) maka amatlah buruknya sebutan  nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, Dan (ingatlah) sesiapa  yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang  yang zalim.' (Surah al-Hujurat :11) 
Agama amat  memberi perhatian dalam aspek pertuturan hinggakan perkataan yang keluar  daripada lidah diperhalusi supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang  menyakitkan hati dan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada orang yang  mendengarnya. Apatah lagi perkataan yang terkeluar itu berupa sangkaan  dan tohmahan yang gagal dibuktikan akan kebenarannya. 
                                          Allah berfirman yang  bermaksud,
"Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan  daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang)  kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan  jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan  janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah  seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (Jika  demikian keadaan mengumpat) sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Patuhilah  larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah;  sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.' (Surah  al-Hujurat: 12)
Sementara itu Imam Al-Ghazali dalam  kitabnya Ayyuhal Walad, menasihatkan mereka yang sering berdebat dan  bertelingkah supaya "seboleh-bolehnya tinggalkan perdebatan kerana ia  boleh membawa kepada riak, hasad, takbur, ujub dan sebagainya. Namun  jika kamu terjerumus ke kancah perdebatan, maka hendaklah ikhlas niat di  hati bagi menzahirkan kebenaran. Niat yang ikhlas ini boleh dikesan  melalui dua tanda iaitu pertamanya, kamu tidak membezakan sama ada  kebenaran itu nanti akan tersingkap melalui lidah kamu atau lidah lawan  debatmu. Keduanya, kamu lebih menyukai jika debat itu diadakan dalam  tempat yang tertutup tanpa dilihat oleh orang yang begitu ramai.
Dalam  isu berdebat dan bertelingkah ini, didapati bahawa mereka yang suka  berdebat bukan bertujuan menyampaikan kebenaran tetapi untuk membantah  hujah pihak lawan seperti firman Allah yang bermaksud,
"Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan  dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka  bertengkar." (Surah Az-Zukhruf: 58)
Menjadi seorang  Muslim yang baik bukan saja terletak pada keupayaan membaiki diri  sendiri bahkan berupaya mengukuhkan ummah melalui anjuran perdamaian  seandainya berlaku sebarang pertelingkahan. Apatah lagi kalau ia  membabitkan tokoh ulama dan ilmuan agama. Barangkali ramai di kalangan  kita yang membiarkan pertelingkahan yang berlaku sesama kita atas dasar  seronok untuk melihat pertarungan hujah tetapi tidak berupaya melepasi  garisan bahaya perpecahan yang sedia menunggu.
                                       Justeru, menangani  konflik yang berlaku di kalangan umat Islam juga perlu dilaksanakan  sebagai memenuhi tanggungjawab terhadap agama. Namun begitu kita banyak  diajar dan dididik oleh agama akan cara-cara menangani konflik kalau ia  berlaku. Islam menggariskan kaedah yang tepat dalam menangani sebarang  konflik peribadi atau kumpulan. Jawapannya dengan cara mendamaikan  mereka secara adil demi maruah dan kepentingan agama mendahului  pertembungan peribadi.
wallahu'alam..
Dairi Islamiah
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan