 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan mentega jenama 'Pure Creamery Butter-Golden Churn' yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.
Ketua Pengarahnya Othman Mustapha berkata keputusan  itu dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari kilang yang  sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza dan  untuk pasaran berbeza. 
 "Perkara  ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New  Zealand yang mengeluarkan produk itu. Sehubungan itu umat Islam seluruh  negara diminta untuk tidak menggunakan produk tersebut," katanya dalam  satu kenyataan. 
 Sehubungan  itu juga, Othman meminta pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan  Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang telah menggunakan  produk tersebut agar menukarnya kepada yang mempunyai sijil halal yang  diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru. 
 Beliau  berkata mereka juga perlu melakukan proses samak dengan disaksikan  jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan samak.  
 Othman  berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport  dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran. 
 Pada  19 Julai lalu Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu  yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana  dikesan mengandungi DNA (asid deoksiribonukleik) babi, menyebabkan  industri makanan itu terjejas. 
 - Bernama
Sumber : Malaysiakini
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan