Mengikut mazhab Ahli Sunnah Waljamaah, roh itu bersifat dengan sifat hadis (sifat baharu). Adapun hakikat roh, para ulama' berselisih pendapat mengenainya.
Antara mereka ada yang berpendapat mengatakan bahawa persoalan mengenai roh adalah urusan Allah SWT. Tiada siapa yang berhak membicarakannya. Cuma, mereka sekadar mengatakan bahawa roh itu memang wujud (ada). Ini adalah pendapat kebanyakkan ahli tafsir.
Manakala pendapat lain mengatakan kita boleh membicarakan mengenai roh, cuma sejauh mana kita dibenarkan membicarakan mengenainya dan cara mana membicarakannya. Ini yang menjadi perbezaan pendapat sehingga terdapat lebih daripada seribu pendapat mengenainya.
Jumhur Mutakallimun berpendapat bahawa roh itu ialah jisim (fizikal) yang amat halus, ia meresap kedalam seluruh badan. Sama seperti tumbuhan (yang hidup) dimana rohnya meresap keseluruh dahan, ranting dan daunnya.
Kebanyakkan mereka berpendapat mengatakan roh itu ialah 'arad' (benda yang hidup) yang menggerakkan segala anggota badan. Walaupun ia boleh keluar dan masuk semula kedalam badan menjadikan badan itu boleh hidup. Berkata Syeikh Saharwardi, justeru itulah roh disifatkan sebagai hadis (sifat baharu yang ada permulaan) boleh naik dan turun, pergi dan datang dari alam barzakhnya.
Golongan ahli falsafah dan ulama' sufi berpendapat roh itu bukan jisim dan arad tetapi ia adalah jauhar yang tersendiri dimana ia berdiri dengan sendirinya. Ia tidak mengambil tempat untuk menetap cuma ia dihubungkan dengan badan bertujuan untuk menggerakkan dan mentadbirkan pergerakkan badan. Ia bukan bertempat didalam badan.
Oleh itu tidak timbul soal ia keluar dari badan, jumlahnya amat banyak berdasarkan berapa banyak jumlah alam.
Ia berlainan antara satu sama lain mengikut kelainan jenis anggota fizikal yang digerakkan. Tetapi ia boleh terhimpun menjadi satu gabungan antara jenis dan bentuknya, pelbagai rupa dan perbezaannya. Dengan perbandingan ini samalah seperti dikatakan bahawa bala tentera itu bersatu, ertinya berbagai-bagai unit dan ketumbukan dalam tentera yang berbeza tugas dan peranan, berbeza anggota dan pangkatnya.
Mereka bersatu sebagai satu pasukan untuk satu tujuan iaitu operasi disamping berkenalan antara satu sama lain. Hampir sama perbandingan diantara kedua-duanya iaitu antara tentera dan roh dari segi peranannya.
Roh bercantum menjadi satu dalam melaksankan peranannya pada anggota tubuh badan manusia walaupun jenisnya berbeza. Perbezaan ini berdasarkan kepada anggota badan manusia sama seperti perbezaan antara manusia dan jin.
Petikan buku : Furu' al Masa'il
Oleh :Maulana Al-Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan