Pertama : Bukan Islam memasuki Masjidil Haram.   
Kedua : Sebab mengapa bukan Islam dilarang memasuki masjidil haram.   
Ketiga: Bukan Islam memasuki masjid selain masjidil Haram   
Saya akan cuba meringkaskan jawapan bagi ketiga-tiga persoalan sekaligus secara padat dan mampu difahami, InshaAllah. 
  
Asas rujukan hukum bagi persoalan ini diambil dari dua ayat berikut :   
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا   
Ertinya  : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik  itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun  ini.. (At-Taubat : 28) 
  
Satu lagi adalah :-   
أَيُّهَا  الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى  حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ  حَتَّىَ تَغْتَسِلُواْ   
Ertinya  : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu salat, sedang kamu  dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan,  (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali  sekedar berlalu saja." ( 4:43 ) 
  
MASUK MASJIDIL HARAM   
Majoriti  ulama melarang bukan Islam memasuki masjidil haram atas larangan yang  terdapat di dalam ayat diatas. Namun Imam Abu Hanifah dan Ahmad  mempunyai sedikit perincian dalam hal tersebut.   
Berdasarkan  dua ayat ini, majoriti ulama dari kalangan mazhab maliki dan Syafie  melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram, namun demikian dibenarkan  bagi ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) untuk memasukinya dengan  syarat-syarat tertentu.   
Imam  Abu Hanifah pula menyatakan non-muslim dibenarkan untuk memasuki  masjidil haram sekadar lalu, namun tidak dibenarkan untuknya duduk dan  menetap di sana (sebagaimana sebahagian umat Islam); ini kerana beliau  berpandangan, ‘kotor' yang disebut di dalam ayat itu hanyalah membawa  maksud kekotoran syirik yang melibatkan hati bukannya kekotoran fizikal.  Lebih dari itu, Ibn Hajar menyatakan mazhab Hanafi membenarkan bukan  Islam memasuki masjid tanpa syarat.   
Imam  Ahmad Hanbal pula menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk  memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat  Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah seperti pembinaan dan maintainance.  Beliau mengambil dalil iaitu penduduk Taif dibenarkan oleh nabi s.a.w  untuk menetap dan tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam.   
Rasulullah  juga diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid  Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk  menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, nabi menyebut kepada  sahabat   
"Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"   
Selain  itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut  bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh  Rasulullah di dalam masjid (ditanglkap atas kesalahan tertentu),   
بعث رسول اللَّهِ  خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ   
Ertinya  : Rasulullah s.a.w menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka  terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang  bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari  tiang-tiang masjid ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )   
Selepas  tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah  dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya,  dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan  dan ibadah umat Islam.[1]   
HUKUM MASUK MASJID SELAIN MASJIDIL HARAM   
Imam  Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab  Maliki tetap MELARANG bukan Islam memasuki masjid manakala Mazhab  Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan bukan Islam untuk memasuki  masjid-masjid lain dengan syarat-syarat tertentu. Beliau juga menegaskan  kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah  tersebut.   
Imam Nawawi menghuraikan :   
وفي  هذا جواز ربط الأسير وحبسه وجواز إدخال المسجد الكافر ومذهب الشافعي جوازه  بإذن مسلم سواء كان الكافر كتابيا أو غيره وقال عمر بن عبد العزيز وقتادة  ومالك لا يجوز   
Ertinya  : Melihat kepada hadis ini, harus hukumnya mengikat tawanan dan  menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki  masjid. Mazhab Syafie : menyatakan keharusannya dengan syarat terdapat  keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dari kalangan ahli Kitab  atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik  tidak mengharuskannya. (Syarah Sohih Muslim, 12/87)   
Selain  yang diatas, anak murid Imam Syafie yang utama iaitu Al-Muzani juga  berbeza ijtihad dengan gurunya, beliau menyatakan TIDAK HARUS bukan  Islam memasuki masjid apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika  mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan.  Sedangkan ayat di atas menyebut larangan bagi mereka yang berjunub  memasuki masjid kecuali lalu sahaja.   
Al-Mawardi memetik kata Al-Muzani iaitu :-   
لأنه لو جاز ذلك له لكان الجنب المسلم أولى به لموضع حرمته وتشريفه فلما لم يجز للمسلم المبيت فيه كان  المشرك أولى   
Ertinya  : Sekiranya harus (bagi bukan Islam masuk masjid), sudah tentu muslim  yang berjunub lebih utama untuk dibenarkan disebabkan kehormatannya dan  kemuliaannya, maka di ketika TIDAK HARUS bagi seorang Muslim menetap di  dalamnya, maka tentulah bukan Islam lebih lagi dilarang (kerana mereka  dikira sentiasa berjunub) ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)   
Imam Al-Mawardi As-Syafie membawakan pula teks kata-kata Imam Syafie dalam hal ini iaitu :-   
ولا بأس أن يبيت المشرك في كل مسجد إلا المسجد الحرام   
Ertinya : Tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram. ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)   
KESIMPULANNYA   
Majoriti  ulama bersepakat bukan Islam TIDAK BOLEH MEMASUKI masjidil haram, namun  dengan agak ketara mereka berbeza ijtihad dalam menentukan hukum bagi  masjid-masjid yang lain.   
Namun  demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan  bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :-   
    
- 1)    Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.
- 2)    Mestilah  mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk  mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya,  melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya. 
- 3)    Mereka  mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat  kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi  wanitanya yang izin memasuki masjid.