Pertahanan diri umat Islam sebenarnya adalah rohnya yang merupakan  baju besi maknawi dan rohani dari serangan luar. Gejala-gejala yang  tidak sihat yang datang daripada perang saraf dan gerak saraf musuh  adalah untuk melemahkan ketahanan iman umat Islam, perpaduan serta ilmu  pengetahuan islam. Musuh jika menyerang dari aspek yang lain seperti  kekayaan, ketenteraan, itu hanyalah serangan kekuatan sampingan, bukan  serangan terhadap kekuatan umat yang utama.
 Di akhir zaman ini sudah ramai umat Islam yang kehilangan Tuhan atau  tidak memikirkan lagi adanya Tuhan. Hinggakan mereka tidak terasa lagi  peranan Tuhan di dalam kehidupan. Walaupun mereka percaya adanya Tuhan,  tapi pada mereka kehidupan ini seolah-olah tiada campur tangan Tuhan.  Boleh dikatakan, sudah ramai umat Islam yang ‘tidak perlukan’ Tuhan.  Jika mereka pandai, pada mereka ini adalah disebabkan usaha mereka  semata-mata, tidak kena-mengena dengan Allah.
 Jika mereka kaya, berpangkat atau berkuasa, ia adalah kerana  kemampuan mereka. Pada mereka, Tuhan sudah tiada kuasa menentukan nasib  mereka. Pada mereka, Tuhan itu hanya sekadar ada, peranan-Nya kepada  manusia seolah-olahnya tidak ada. Cuma sekali-sekala terasa Tuhan  diperlukan, setelah mereka tidak ada kuasa pada diri mereka, seperti  sakit, miskin atau dianiaya sesama mereka. Barulah mereka mula berdoa  atau meminta kawan-kawan menolong mendoakan keselamatan mereka.
 Setelah baik atau senang semula, mereka lupa kembali kepada Allah.  Dia tidak diperlukan pula. Sikap ini bukan sahaja berlaku kepada ramai  umat Islam di akhir zaman. Bahkan yang kelihatan beragama pun seperti  masih bersembahyang, berpuasa, naik haji, sama sahaja.
 Orang beragama dengan tidak beragama sudah sama sikapnya. Maka  kesimpulannnya, yang paling rosak di waktu ini adalah aqidah umat Islam.  Pada mereka Tuhan ada atau tidak ada sama saja. Kalaupun percaya adanya  Tuhan, Tuhan tidak diperlukan di dalam hidup mereka. Pergantungan  dengan Tuhan sudah tidak ada. Betapa pulalah untuk ditakuti atau  dicinta, langsung tidak ada di dalam perasaan mereka.
 Side effectnya apa sudah terjadi?
 Orang beragama atau tidak, perangainya sama saja. Sama-sama jahat,  sama-sama membuat mungkar, sama-sama bergaduh, sama-sama berkrisis.
 Sama-sama tidak ada kasih sayang, sama-sama tidak ada bertimbang rasa,  sama-sama tidak peduli-mempeduli. Sama-sama tidak sabar, sama-sama tidak  pemurah, sama-sama tidak merendah diri.
 Mengapakah perangai orang yang beragama dengan yang tidak ada agama  sama?
 Kerana mereka mengamalkan agama secara tradisi, agama sekadar satu  warisan, tidak ada ilmu menyeluruh tentang agama, apalagi dihayati. Yang  diharap hanya pahala, pahala, pahala. Pengamalan Islam bukan ditunjangi  oleh kerana takut atau cintakan Tuhan, maka sebab itulah ibadah mereka  tidak melahirkan akhlak yang mulia. Mereka mengamalkan agama seperti  orang Nasrani, Yahudi dan sebagainya. Beragama hanya bila beribadat. Di  luar masa ibadat sudah tidak mengamalkan agama lagi. Waktu sembahyang  sahaja ingat akan Allah selepas sembahyang lupa kesemuanya. Adakah ini  yang akan memberikan kejayaan? Adakah ini yang dituntut oleh Allah?
 Maka itu berlaku berkat Tuhan pun tidak turun lagi ke dunia ini.  Apabila berkat tidak ada, benda baik pun menjadi mudharat. Tuhan  menimpakan bencana kepada sesiapa sahaja tidak kira orang baik atau  orang jahat (contoh virus H1N1, gejala social, dan sebagainya) berlaku  secara umum di mana-mana. Jika kepada orang jahat itu, sebagai hukuman,  kepada orang baik pula sebagai penghapusan dosa atau meninggikan  darjatnya.
 Makanan yang baik-baik pun sudah hilang berkatnya, sedap dan lazat  tetapi membawa penyakit. Penyakit barah yang menakutkan, kencing manis  yang merbahaya. Darah tinggi, sakit jantung menyusahkan manusia.  Begitulah kalau Tuhan sudah murka kepada manusia, makanan yang halal pun  menjadi musuh manusia. Walaupun begitu manusia tidak insaf juga,  maksiat dilakukan bertambah berganda-ganda. (Nauzibillah).
 Tanpa takut, tanpa bimbang tindakan Tuhan, ajaran Tuhan sekalian alam  masih tidak dipedulikan. Tuhan tidak diperjuangkan bahkan dilupakan.  Manusia sibuk dengan makan, sibuk dengan minum dan sibuk dengan pakaian.
 Sibuk dengan maksiat dan hiburan, sibuk dengan pembangunan dan  kemajuan. Tuhan hanya sebagai slogan. Tuhan bukan matlamat hidup,  kalimah Tuhan hanya sampingan. Maka, tidak hairanlah Tuhan bertindak.  Dia mengarahkan makanan menjadi musuh insan hingga setiap hari manusia  menderita disebabkan oleh makanan.
 Tidak nampak lagi oleh manusia akan kekuasaan Tuhan…..
 Bilakah manusia mahu sedar dan insaf kembali ke pangkal jalan??
 Hari ini orang menyebut Allah bukan dari jiwanya. Ia disebut hanya  sebagai budaya. Tuhan disebut sekadar untuk menyedapkan bahasa atau  kata-katanya…
 Renungilah…dan marilah kita muhasabah diri agar hidayah Allah turun  kembali ke muka bumi ini.
 Allah s.w.t Maha Kaya, Dia tidak perlu kepada makhluk-Nya agar mereka  menyembah-Nya. Dialah Zat yang sempurna sifat-Nya yang tidak memiliki  kekurangan sedikit pun. Dia tidak akan mati binasa, tidak akan pernah  lemah, dan tidak pernah mengantuk. Dia tidak akan pernah jatuh miskin  sehingga memerlukan bantuan makhluk-Nya. Allah s.w.t berfirman:
 Maksudnya: “Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan  Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha  Terpuji”. (Surah Fatir, ayat 15)
 Allah tidak dapat dilihat oleh makhluk-Nya, sedangkan pada hari  akhirat nanti orang-orang mukmin akan dapat melihat Allah. Di dunia  Allah s.w.t. telah berbicara dan bercakap-cakap dengan Musa a.s. Allah  s.w.t telah mengambil Ibrahim sebagai Khalilullah (teman Allah). Allah  s.w.t mengajarkan ilmu hukum kepada Nabi Sulaiman a.s. dan mengajarkan  ilmu kepada Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t. berfirman:
 Maksudnya: “Tuhan menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya”. (Surah al-Qasas, ayat 68)
 Sesungguhnya Allah-lah tempat bergantungnya segala sesuatu, maka  orang-orang yang sedang kesusahan bergantung kepada-Nya. Allah s.w.t.  berfirman:
 Maksudnya: “Semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta  kepada-Nya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan”. (Surah ar-Rahmaan, ayat  29)
 Allah Maha Penyabar, dan tiada yang dapat menandingi kesabaran-Nya.  Allah Maha Dermawan tiada yang dapat menandingi kedermawanan-Nya.  Sesungguhnya tiada orang yang lebih penyayang daripada Allah dan tiada  yang paling cepat dalam mengazab melainkan Allah. Allah s.w.t.  berfirman:
 Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksa-Nya, dan  sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah  al-A’raaf, ayat 167)
 Oleh itu bagaimana kita hendak mengubati penyakit umat akhir zaman  ini?
 Kita kena kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Kita kena  mengenal Tuhan kita yakni Allah s.w.t. Mengenal Tuhan tidak cukup kalau  terhenti setakat akal sahaja. Walaupun kita sudah belajar sifat 20  sehingga faham dan alim, ia belum menjamin kita “kenal” Tuhan. Kita  sebenarnya baru “tahu” tentang Tuhan dengan akal. Sedangkan mengenal  Tuhan ialah dengan hati, bukan dengan akal.
 Hati yang arif dan kenal Tuhannya mampu untuk mengawal diri dari  kemungkaran. Jika akal yang ‘tahu’ tentang Tuhan, ia tidak mampu  mengawal tuannya dari kemungkaran dan dosa. Dia juga payah untuk berubah  dan meningkatkan diri.
 Keseluruhannya sifat-sifat Tuhan itu adalah lambang kasih sayang  Tuhan terhadap hamba-hamba- Nya. Antara tanda kasih sayang Tuhan itu  ialah nikmatNya yang diberikan terlalu banyak dan luas, bahkan tidak  terhitung. Jika satu nikmat sahaja kita hurai, sudah cukup untuk  menunjukkan betapa baiknya Tuhan kepada kita. Contohnya, cuba kita tutup  hidung selama 5 minit. Tentu kita akan mati kerana tidak boleh  bernafas. Begitulah besarnya nikmat Tuhan. Maha Besar Tuhan! Kita patut  berterima kasih kepada Tuhan. Kalau Tuhan tidak beri kita udara,  kemudahan dan keselesaan hidup yang canggih pun tidak bermakna kerana  kita tidak dapat mengecapinya.
 Rasa-rasa hati seperti inilah yang menguatkan hubungan hati seorang  hamba dengan Tuhannya. Hubungan hati dan rasa inilah yang menundukkan  manusia agar patuh kepadaNya dengan hati yang penuh kecintaan pada  Tuhan.
 Jadi, kita perlu sentiasa ingat betapa Pengasih dan Penyayangnya  Tuhan yang menjadikan kita. Kita ini hanya seorang hamba yang hina-dina  yang dijadikan Allah dari air mani. Diri kita yang hina dan banyak dosa  ini pun Allah masih sayang dan beri berbagai nikmat seperti penglihatan,  pendengaran, kesihatan dan sebagainya.
 Kalau begitulah kasih sayang Tuhan kepada manusia, kenapa kita tidak  boleh berkasih sayang sesama insan? Kita selalu menyebut Allah itu  Pengasih dan Penyayang melalui kalimah “Bismillah” namun kita masih ada  kesombongan di hati. Kita hina orang dan sebagainya kerana selama ini  kita belajar mengenal Tuhan dengan hujah akal semata-mata. Hati kita  tidak tersentuh pun jika disebut tentang kehebatan Tuhan.
 Justeru itu kita mesti ubah cara kita belajar atau mengajar Tauhid  tentang Tuhan supaya dapat mengenal Tuhan dan memiliki rasa-rasa  bertuhan. Rasa-rasa bertuhan itulah yang hendak dibawa ke mana-mana.
 Rasa bertuhan itu kalau hendak dikiaskan adalah seperti berhadapan  dengan seekor harimau. Harimau tersebut sedikit pun tidak mengusik kita.  Jika kita dihidangkan makanan di waktu itu, beranikah kita terus makan  rezeki yang sedap-sedap terhidang di depan kita? Tentu tidak, sebab kita  terasa kehebatan harimau itu. Rasa takut kepada harimau itu yang boleh  menerkam bila-bila masa.
 Begitu juga dengan Tuhan. Hati yang kenal Tuhan tidak tunggu-tunggu  dan berfikir malah dia benar-benar faham dan terasa kehebatan Tuhan  setiap masa.
 Kehebatan Tuhan itu jauh lebih dari seekor harimau. Jika Allah hendak  bertindak ke atas kita, Allah tidak akan bertangguh. Dia boleh buat  dalam sekelip mata. Mengapa kita tidak terasa kehebatan Tuhan yang amat  jauh lebih hebat dari harimau itu?
 Seandainya kita sentiasa merasakan kehebatan Tuhan di dalam hati, dan  perasaan bertuhan itu kita bawa ke mana-mana, kita tidak akan makan  rasuah, jatuhkan orang lain dan lain-lain. Sebagaimana kalau harimau ada  di depan kita, apakah masih sempat untuk bergaduh? Tentu tidak.  Segala-galanya hilang, yang ada dalam hati ialah perasaan takut akan  ‘kehebatan’ harimau itu.
 Mengapa tidak rasakan Tuhan begitu? Tuhan yang nyawa kita kalau Dia  tarik satu urat pun, kita sudah tidak mampu hendak hidup. Sebab itulah  dikatakan Tuhan itu Maha Besar. Di hari ini, orang yang ikut Islam pun  sudah kehilangan Tuhan, sebab itu Tuhan biarkan umat Islam seluruh dunia  diratah-ratah oleh musuh. Manusia sudah terlalu longgar hubungannya  dengan Tuhan, sekalipun dalam solat. Sedangkan ketika solatlah  sepatutnya rasa bertuhan itu benar-benar dihayati dan dirasai.
 Rasulullah s.a.w. bersabda: “Cukup 2 rakaat solat sunat tapi memberi  kesan pada peribadi daripada beribu-ribu rakaat tetapi tidak memberi  kesan.”
 Ketahuilah wahai rakan-rakanku kita sebenarnya memerlukan Allah pada  setiap waktu. Allah Ta’ala, adalah Tuhan, Ia segala-galanya. Kalau bukan  karena Allah, segala sesuatunya tidak akan ada. Dialah Yang Maha  Mengadakan dan Maha Mentiadakan. Allah menciptakan apa saja yang ada di  dunia dan akhirat, menjadikan alam yang nyata dan alam yang ghaib,  kemudian manusia, haiwan, tumbuhan, dan sebagainya. Setiap makhluk yang  Allah ciptakan, masing-masing memiliki sistem kehidupan nya sendiri.  Semua hidup mengikuti peraturan nya masing-masing. Sesiapa saja yang  tidak hidup dengan peraturan Tuhan, atau menolak sistem Allah pasti  binasa, baik jangka pendek maupun panjang.
 Kemudian setelah itu, setiap makhluk ciptaan Tuhan sebenarnya tidak  pernah lepas dari kuasaNya, ilmuNya, penglihatanNya, pendengaranNya, dan  seterusnya. Jadi walaupun sekecil apapun, tiada satu benda di dunia ini  yang berada diluar kuasaNya. Semua ada di dalam genggaman Allah Ta’ala.  Sama juga dengan usaha yang dilakukan manusia untuk mencapai sesuatu.  Usaha manusia tidak terlepas dari kuasa dan kehendak Allah. Kalau Allah  inginkan dia gagal, maka gagal lah dia, meskipun dia telah berusaha  sekuat tenaga. Adapun orang yang misalkan Allah inginkan dia berjaya  tanpa menempuh sebuah usaha, maka hal itu akan terjadi. Karena kehendak  Tuhan itu MUTLAK, tiada siapapun dapat menghalangnya.
 Sebenarnya, sifat-sifat Maha Berkuasanya Tuhan yang disebutkan tadi,  sudah cukup membuat hati kita gentar. Apakah kita tidak takut dengan  kuasa Allah, ketika Allah katakan kita miskin, maka kita akan jadi  miskin, kalau Allah katakan kita sengsara, maka sengsaralah kita..  Bukankah hal ini cukup menakutkan? Karena ternyata kita tidak punya  kuasa apapun ke atas diri kita sendiri. Bahkan misalkan, kalau Allah mau  kita tidak dapat menggerakkan sebelah ibu jari kita, hal itu bisa saja  terjadi dengan sangat mudahnya. Itulah kehebatan kuasa Allah Ta’ala.  Maha Agungnya Tuhan.
 Kita sebagai hambaNya, sehebat, sepintar, sekaya apapun diri kita,  kita tetap saja hamba Tuhan. Tugas hamba yang sebenarnya ialah mengabdi  dengan Tuannya. Bukankah kita telah berjanji bahwa : “hidupku, matiku  dan ibadahku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekelian alam?” Inilah ikrar  yang kita ucapkan 5 kali dalam sehari, dalam solat kita.
 Bagaimanakah pertanggung jawaban kita dengan Tuhan? Kemudian, kita  sebagai hamba Allah sifat fitrahnya, adalah sangat perlu dengan Tuhan.  Bohong kalau seorang manusia itu tidak perlu dengan Tuhan. Tuhan adalah  fitrah, hal yang sudah pasti diperlukan oleh manusia. Bahkan orang yang  tidak beribadah kepada Tuhan pun, ketika mereka berada dalam kesusahan  yang sudah sangat berat, terdesak, yang mereka ucapkan adalah : Wahai  Tuhan, tolong aku! Begitulah fitrah setiap manusia, kita sangat perlu  dengan Allah, Tuhan kita.
 Semestinya kita perlu dengan Tuhan di dalam setiap keadaan. Ketika  sakit, sehat, pandai, bodoh, aman, ramai, di setiap waktu, seharusnya  kita sangat perlu dengan Tuhan. Jangan anggap kita bisa hidup sendirian,  tanpa manusia lain saja kita tidak sanggup, apalagi dengan Tuhan, hidup  pun terasa seperti neraka sebelum neraka di akhirat nanti.
 Tapi sayangnya, di akhir zaman ini manusia memerlukan Tuhan secara  berkala atau bermusim. Manusia kembali kepada Tuhan ketika dirinya  sedang ditimpa kesusahan, penderitaan. Ketika saat-saat seperti itu  barulah manusia mengadu pada Tuhan. Ada lagi yang lebih sombong, ketika  sudah ditimpa ujian kesusahan pun, ia merasa tetap tidak perlu dengan  Tuhan, ia merasa dengan kekuasaan yang ia miliki dapat menyelesaikan  penderitaan atau masalah yang menimpa dirinya.. Nauzubillah min zalik.
 Seharusnya, rasa diri kita ini memerlukan Allah adalah setiap masa  dan setiap waktu. Tidak pandang tempat, keadaan, waktu apapun juga, kita  sentiasa memerlukan kepada Allah. Di kala kita susah, tidak ada orang  yang mau menolong, hanya Allah lah pembela kita, disaat kita kesepian,  tidak ada orang mau menemani kita, Allah adalah Kawan Yang Maha Setia,  ia tidak perlu istirahat, bahkan ketika tidur, Allah lah yang menjaga  kita. Allah adalah Tuhan. Ia adalah segalanya. Yakinlah, ketika kita  dapatkan Allah, kita dapat segalanya, kehilangan Tuhan kehilangan  segalanya. Ia adalah kebahagiaan abadi dan sejati.
 Allahu Alkhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar.
 Allah s.w.t menguasai dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala  yang ada di antara keduanya. Dia memerintahkan dan melarang, menciptakan  dan memeliharakan, dan mematikan dan menghidupkan. Dia mengangkatkan  dan merendahkan derajat, menggantikan malam dan siang, dan menaikkan dan  menjatuhkan bangsa-bangsa, agar satu bangsa lenyap dan yang lain  muncul. Semua yang ada di langit dan bumi, di atasnya dan di bawahnya,  di lautan dan di udara, tunduk kepada perintahNya. Dia mengetahui segala  sesuatu dan jumlah segala sesuatu. PengetahuanNya meliputi tiap-tiap  sesuatu dan tidak hilang lenyap dari pengetahuanNya sesuatu dari  sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit.  Kalau semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimahNya,  maka akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimahNya,  walaupun ditambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai  bantuan.
 Dia mendengar semua suara, dan tidak tersilap antara satu sama yang  lain, Dia mendengar semua permintaan dan permohonan dalam berbagai  bahasa. Tiada suara menyimpangkan perhatianNya dari mendengar yang lain,  Dia tidak terkeliru mendengar permintaan mereka, dan tidak pernah jemu  mendengar permohonan mereka. Dia lihat segala yang dapat dilihat, malah  perjalanan seekor semut hitam di atas batu permata ketika kegelapan  malam. Dia dapat melihat segala penglihatan mata, dan mengetahui segala  rahsia. Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa  berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan. Dia  mengampunkan dosa, mengurangkan kebimbangan, mengurangi kesusahan,  menunjuk hambanya ke pangkal jalan, membuat yang kaya menjadi miskin,  memberi petunjuk kepada yg tersesat dan keliru, memenuhi keperluan yang  berputus-asa, memberi makan yang lapar, membajui yang telanjang,  menyembunyikan keaiban, dan menenangkan ketakutan.
 Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kalangan  manusia dan jin mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling  bertaqwa di kalangan mereka, nescaya hal itu tidak menambahkan  apa-apapun dalam kerajaanNya. Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan  terkemudian dari kalangan manusia dan jin mempunyai hati jahat umpama  hati orang yang paling jahat di kalangan mereka, nescaya hal itu tidak  mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanNya. Sekiranya orang-orang  yang terdahulu dan terkemudian dari kalangan manusia dan jin berhimpun  di suatu tempat, lalu memohon kepadaNya, Dia akan mengurniakan setiap  permintaan, nescaya hal itu tidak sedikit mengurangkan apa-apa yang ada  di sisiNya kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan  sebatang jarum.
 Dialah Yang Awal tanpa permulaan, dan Yang Akhir tanpa kesudahan.  Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan kekalah Zat Tuhanmu  yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.
 Tulisan Saudara
Rosli Hanif