Rabu, Januari 01, 2014

Selamat Tahun Baru 2014

Tahun 2014 kini menjelma. Rakyat Malaysia telah dihidangkan dengan pelbagai habuan kenaikkan daripada kerajaan UMNO / Barisan Nasional sejak mereka memenangi Pilihanraya ke 13 Mei lalu. Melangkah saja kaki kedalam tahun 2014, tarif baru lektrik sedang menanti. Kenaikkan tol ditunda sebentar akibat desakkan rakyat yang semakin memuncak. Dengan keadaan ekonomi yang semakin menghimpit, kenaikkan harga barang yang mendadak, kos sara hidup yang semakin tinggi dan jurang pendapatan yang kian melebar, golongan marhain kini terpaksa mengerah keringat dan bersengkang mata untuk meneruskan kehidupan.

Golongan elit tidak merasakan kepedihan ini. Mendiami rumah besar yang tersergam indah sambil bersantai menikmati minuman petang di tepi kolam renang, mereka tidak memahami apa erti kepayahan dalam meneruskan kelangsungan hidup. Sehingga tergamak mengatakan mereka yang bangkit menentang kenaikkan harga barang sebagai golongan yang tidak pandai bersyukur. Ironinya lagi, diajak rakyat menabung dan berjimat cermat sambil memberi peringatan 'beli apa yang perlu saja'. 

Enak benar mereka berbicara di kaca tv dan corong radio serta dada akhbar. Tahukah mereka, rakyat kebanyakkan kini sedang bergelut untuk meneruskan hidup, apatah lagi menjelang sessi persekolahan baru yang memerlukan wang yang banyak untuk dibelanja. Seenaknya disuruh rakyat menabung. "Pandai sangat suruh kita menabung, duit pun tak ada nak menabung apa" rungut seorang anak muda ketika menonton tv sambil sarapan pagi.

Apa yang pasti, tahun 2014 bakal menjadi tahun yang benar-benar mencabar kesabaran rakyat dalam mendepani kehidupan seharian. Ambang 2014 dapat menyaksikan amarah rakyat yang TURUN membantah diatas tindakan kerajaan yang tidak mempedulikan nasib mereka.

SELAMAT TAHUN BARU.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan